Aku
adalah sepasang kasut. Aku dilahirkan di sebuah kilang perusahaan. Malangnya
aku tidak mengetahui dari mana asal usul dan juga tarikh lahirku. Setelah itu
aku dihantar ke sebuah kedai untuk dijual dan diberi nama MAXS. Aku tidak ingat
berapa lama aku telah berada di kedai kasut tersebut.
Pada suatu hari bermulalah kisah aku bersama tuan
baru ku. Pada hari itu jugalah aku memulakan khidmatku. Al-kisahnya tuan aku
telah membeli aku dengan harga RM 39.90. Mahal juga hargaku. Beliau membeli aku
kerana kaki beliau telah teruk melecet disebabkan memakai rakanku (kasut
bertutup) semasa seminar. Hampir setengah hari memakai kasut bertutup itu (nama
tidak dikenali), beliau tidak mampu menanggung azab sengsara kerana merasakan
kaki beliau tidak mampu bernafas. Justeru itu, beliau terus mengajak temannya
ke kedai. Setelah membayar nilai harga yang ditetapkan, beliau terus
memberitahu kepada tuan kedai untuk memakai aku segera.
Setelah menyarungkan aku ke kaki tuan baru ku,
terdengar pujian-pujian yang agak membuatkan aku riak seketika. Beliau memujiku
sangat selesa untuk dipakai dan cantik walaupun aku tahu beliau beberapa kali
tersadung dan terjatuh disebabkan bentuk fizikalku seperti terompah. Mungkin
masih belum serasi.
Hari ini sudah genap 2 bulan aku memberi perkhidmatanku
kepada beliau. Ke mana saja beliau memakaiku walaupun ke pejabat. Ada juga
kawan-kawan sepejabat yang memerli beliau memakai terompah. Akan tetapi beliau
pekakkan mata, butakan telinga kerana kasih sayang beliau terhadapku. Rakanku
Vincci yang harganya berlipat kali ganda daripadaku pun tidak dijadikan
pilihan. Aku bangga, akan tetapi, kerana terlalu berkerja keras, aku semakin
uzur. Bahagian bawah badanku tertanggal dan aku terdengar tuan aku mengeluh
kerana tidak sanggup melihat aku rosak. Aku terpaksa menerima kenyataan bahawa
riwayat hidupku hanyalah sampai di sini. Inilah kisah hidupku sepasang kasut.
No comments:
Post a Comment