free glitter text and family website at FamilyLobby.com

Wednesday, 4 July 2012

PANTUN BACAAN DOA

Kalau pergi Tanjung Keramat,
 Anak manis jangan diangkat;
 Bersama kita memohon rahmat,
 Moga majlis mendapat berkat.

 Tetak buluh kajang sepuluh,
 Laksana dititing kias ibarat;
 Angkat tangan jemari sepuluh,
 Doa di pohon biar selamat.

 Garam ada kicap pun ada,
 Sayang lada terlupa bagi;
 Pantun ada ucapan ada,
 Sayang tiada berdoa lagi.

 Lebat kemiri pohonnya rendah,
 Dahan terikat tali perkasa;
 Sepuluh jari kami menadah,
 Mohon berkat yang Maha Esa.

 Tetak buluh kajang sepuluh,
 Mari jolok sarang penyengat;
 Angkat tangan jemari sepuluh,
 Doa di pohon biar selamat.

PANTUN PEMBUKA ACARA

Melati kuntum tumbuh melata,
 Sayang merbah di pohon cemara;
 Assalamualaikum mulanya kata,
 Saya sembah pembuka bicara.

 Ingin rasa memakan kari,
 Kari cendawan batang keladi;
 Girang rasa tidak terperi,
 Bertemu tuan yang baik budi.

 Mencari timba si anak dara,
 Di bawah sarang burung tempua;
 Salam sembah pembuka bicara,
 Selamat datang untuk semua.

 Sayang kumbang mencari makan,
 Terbang seiring di tepi kali;
 Selamat datang kami ucapkan,
 Moga diiring restu Ilahi.

 Ke Pekan Kuala membeli bingka,
 Sayang pesanan terlupa sudah;
 Majlis bermula tirai dibuka,
 Dengan alunan madah yang indah.

 Indah berbalam si awan petang,
 Berarak di celah pepohon ara;
 Pemanis kalam selamat datang,
 Awal bismillah pembuka bicara.

 Mega berarak indah berbalam,
 Dipuput bayu ke pohon ara;
 Pemanis kalam selamat malam,
 Awal bismillah pembuka bicara.


Khabar Angin Maksud: Berita yang belum tentu kebenarannya Contoh Ayat: Aisyah tergelak mendengar khabar angin bahawa dia telah memenangi peraduan itu sedangkan dia tidak hadir ke sekolah.

Peribahasa

Batu api Maksud: Suka melaga-lagakan satu pihak dengan pihak yang lain. Contoh ayat: Munirah berasa malu apabila orang kampung menyedari bahawa dia adalah batu api yang menyebabkan pergaduhan itu.

Monday, 2 July 2012

Pantun Budi

Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput,
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama,
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan,
Budi sedikit bika kan hilang,
Itu jadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun,
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)


Apa Itu KSSR?


KSSR Lengkapi Kemahiran Hadapi Cabaran
KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.
Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.
KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.
Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.
Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.



Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?
KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri.
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).
KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)
Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu?
Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.
Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas?
Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.
Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?
Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.
Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?
KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.
S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?
J: KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.
S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?
J: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.

Thursday, 28 June 2012

Guru Mengikut Perspektif Islam



"Sebelum terjadinya kiamat, terdapat banyak penipuan. Pada waktu itu, pembohong dianggap jujur dan orang yang jujur dianggap pembohong. Orang yang amanah dianggap tidak amanah dan orang yang tidak amanah dianggap amanah" - Hadis Riwayat Abu Hurairah RA. Guru adalah antara kerjaya yang sangat mulia disisi Allah. Banyak hadis yang menunjukkan betapa kerjaya sebagai pendidik ini mendapat tempat yang sangat mulia. Antaranya ialah “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” - Riwayat At-Thabrani. Jelas dalam hadis ini menunjukkan martabat seorang guru itu tidak harus dipandang remeh jauh sekali dicaci atau dihina. Tugas utama seorang guru ialah menyampaikan ilmu, dan Rasulullah saw juga adalah seorang pendidik. Baginda bersabda, "sampaikan dariku walau sepotong ayat'. Tetapi malangnya kini terdapat segelintir masyarakat yang tidak menghormati guru malah mencaci dan menghina kerjaya guru. Astagfirullahalazim. Jika dilihat sejarah para ilmuwan islam yang terbilang, seperti Imam Syafie, Imam Hanafi dan beberapa ilmuwan lagi, mereka sangat menyanjunginya guru-guru mereka walaupun cuma mengajari beberapa potong ayat sahaja. Teringat saya sebuah kisah mengenai seorang Yahudi yang memberitahu Imam Syafie mengenai pengetahuan tentang usia seekor anjing, Imam Syafie sangat menghormatinya dan memanggilnya Guruku. Ketika itu Imam Syafie adalah seseorang yang namanya cukup harum dan disegani kerana mempunyai ilmu yang sangat banyak dan mempunyai ribuan anak murid. Namun beliau masih boleh merendahkan dirinya dengan seseorang yang memberinya ilmu. Walaupun berbeza agama dan bangsa, beliau tidak menghiraukan kerana baginya seseorang yang menyampaikan ilmu itu sangat mulia. Itulah hebatnya seorang guru yang memuliakan gurunya. Wallahualam.