free glitter text and family website at FamilyLobby.com

Thursday, 28 June 2012

Guru Mengikut Perspektif Islam



"Sebelum terjadinya kiamat, terdapat banyak penipuan. Pada waktu itu, pembohong dianggap jujur dan orang yang jujur dianggap pembohong. Orang yang amanah dianggap tidak amanah dan orang yang tidak amanah dianggap amanah" - Hadis Riwayat Abu Hurairah RA. Guru adalah antara kerjaya yang sangat mulia disisi Allah. Banyak hadis yang menunjukkan betapa kerjaya sebagai pendidik ini mendapat tempat yang sangat mulia. Antaranya ialah “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” - Riwayat At-Thabrani. Jelas dalam hadis ini menunjukkan martabat seorang guru itu tidak harus dipandang remeh jauh sekali dicaci atau dihina. Tugas utama seorang guru ialah menyampaikan ilmu, dan Rasulullah saw juga adalah seorang pendidik. Baginda bersabda, "sampaikan dariku walau sepotong ayat'. Tetapi malangnya kini terdapat segelintir masyarakat yang tidak menghormati guru malah mencaci dan menghina kerjaya guru. Astagfirullahalazim. Jika dilihat sejarah para ilmuwan islam yang terbilang, seperti Imam Syafie, Imam Hanafi dan beberapa ilmuwan lagi, mereka sangat menyanjunginya guru-guru mereka walaupun cuma mengajari beberapa potong ayat sahaja. Teringat saya sebuah kisah mengenai seorang Yahudi yang memberitahu Imam Syafie mengenai pengetahuan tentang usia seekor anjing, Imam Syafie sangat menghormatinya dan memanggilnya Guruku. Ketika itu Imam Syafie adalah seseorang yang namanya cukup harum dan disegani kerana mempunyai ilmu yang sangat banyak dan mempunyai ribuan anak murid. Namun beliau masih boleh merendahkan dirinya dengan seseorang yang memberinya ilmu. Walaupun berbeza agama dan bangsa, beliau tidak menghiraukan kerana baginya seseorang yang menyampaikan ilmu itu sangat mulia. Itulah hebatnya seorang guru yang memuliakan gurunya. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment